Friday, November 14, 2008

Hendak seribu daya ...


Jika kita ingin mengusahakan sesuatu, tiada sesiapa pun yang mampu menghalang kita. Tidak kira siapa kita, yang penting kita berusaha dengan gigih mencapai apa yang kita impikan. Ini jelas dibuktikan oleh saudara Mohd Khairi Othman yang merupakan seorang OKU mampu memelihara ikan di Sungai Pahang sebagaimana yang dipaparkan oleh Utusan Online yang saya petik ..Kecacatan tidak mampu untuk menghalang menjadi usahawan.

Bagi pasangan Othman Ali, 75, dan Juliah Ismail, 71, dari Kampung Tanjong Pulai, Pekan, itulah hakikat yang perlu ditempuhi mereka sepanjang 31 tahun lepas setelah dikurniakan seorang anak kurang upaya (OKU), Mohd. Khairi yang hanya mempunyai tangan sehingga paras siku dan kaki di paras lutut.

Walaupun tidak sempurna seperti insan lain, Mohd. Khairi tidak pernah dididik menangisi akan kekurangannya itu.

Hari ini, ibu bapa Mohd. Khairi mampu tersenyum bangga melihat anaknya itu bukan hanya mampu berdikari malah menjadi usahawan akuakultur, satu bidang yang melibatkan banyak aktiviti fizikal.

Semuanya bermula pada lapan tahun lepas, apabila Mohd. Khairi dipujuk sepupunya, Abdul Rashid Nordin agar menternak ikan dalam sangkar di tepi Sungai Pahang.

Meminjam

Beliau, yang memang gemarkan aktiviti memancing, kemudian bersetuju dan meminjam sebuah sangkar daripada sepupunya itu untuk menternak ikan tilapia.

Berkat usaha gigihnya tanpa mengenal jemu, pada hari ini Mohd. Khairi berjaya memiliki 17 sangkar dengan ternakan ikan talapia dan patin hasil usaha gigihnya selama ini.

Beliau berkata, antara 600 dan 700 kilogram ikan bernilai kira-kira RM4,000 dapat dijual di pasar sekitar Pekan pada setiap pusingan hasil iaitu lima bulan sekali.

Mungkin pendapatan yang puratanya kira-kira RM800 sebulan itu tidak berskala besar, namun bagi insan istimewa seperti Mohd. Khairi, ia cukup bermakna dalam membantu kehidupannya sekeluarga.

Rutinnya, Mohd. Khairi akan berkerusi roda dari rumahnya sebelum menuruni anak tangga ke sangkar ikan menggunakan kedua-dua lengan dan pehanya.

Beliau kemudian memberi makan ikan dengan mengepit bekas berisi makanan ikan (palet), malah kadangkala mengangkat sendiri guni berisi makanan itu ke setiap sangkar ikan.

Beliau juga terpaksa membersih kawasan sangkar daripada sampah sarap yang hanyut ke kawasan sangkar bagi mengelak ikan ternakannya mati.

Aktiviti itu dilakukannya setiap pagi dan petang.

“Dengan keadaan fizikal macam ini, memang banyak cabaran perlu ditempuhi tetapi saya sudah biasa sejak kecil,” kata Mohd. Khairi ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun, menurut Mohd Khairi, pada setiap pusingan hasil, beliau akan dibantu beberapa saudara dan rakannya untuk mengeluarkan ternakan ikan berkenaan untuk jualan.

Seorang lagi pemuda OKU, Mohamed Mahidin, 38, dari Kampung Kiambang, Ganchong di sini juga tidak menjadikan kecacatan sebagai halangan untuk menjadi penternak ikan sangkar yang berjaya.

Bekas pemenang pingat perak acara lompat tinggi pada kejohanan Sukan Paralimpik Asia 1998 di Bangkok, Thailand, itu kini berjaya mengusahakan 18 sangkar ikan talapia dan patin.

Beliau yang mengalami kecacatan di kaki kanan, berkata, penglibatannya dalam bidang akuakultur sejak enam tahun lepas membawa pulangan antara RM1,000 dan RM1,500 sebulan.

Katanya, hasil ternakan tersebut mendapat permintaan tinggi daripada pengguna terutama di pasar besar Kuantan.

Ditanya kesukaran yang dihadapinya bagi menjayakan projek itu, Mohamed berkata, beliau akan sedaya upaya berusaha mengatasi segala masalah.

“Lagipun saya memang dibesarkan di kawasan kampung, sudah biasa bermain sungai," katanya.

Namun, katanya, cabaran yang paling besar ialah setiap kali musim banjir yang memaksanya memberhentikan sementara aktiviti penternakan ikan.

Kedua-dua pemuda berkenaan seperti usahawan lain, juga menyimpan hasrat memajukan perniagaan masing-masing.

Dengan kerahan keringat bagi menjayakan perusahaan sangkar ikan tersebut, usaha Mohd. Khairi dan Mohamed telah mendapat perhatian Jabatan Perikanan .

Pada 23 Oktober lepas, kedua-dua pemuda berkenaan telah menerima bantuan menerusi Skim Perkhidmatan Sokongan Akuakultur (SPeKs) yang disampaikan sendiri oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan, Ismail Abu Hassan.

Skim berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan serta meningkatkan pendapatan pengusaha akuakultur melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan sokongan.

Bagi Mohd. Khairi bantuan tersebut akan dapat mempertingkatkan pengeluaran hasil ternakannya pada masa akan datang.

“Penambahan sangkar ikan memerlukan modal yang besar dan bantuan ini pasti membantu," katanya.

Bagi Mohamed, beliau bercadang mengembangkan aktiviti ternakan ikan sangkarnya kepada industri hiliran dengan menghasilkan produk sejuk beku, pekasam dan keropok.

Katanya, melalui pemerhatian yang dilakukannya, kesemua produk berkenaan kini semakin diminati dan mendapat permintaan yang baik di pasaran seluruh negara." Di petik daripada Utusan Online

Sama-sama kita mencontohi semangat dan kegigihan sahabat kita ini dalam apa jua yang kita lakukan. Sebagai seorang beragama Islam , saya yakin bahawa rezeki di kurniakan Allah dan kita perlu berusaha dengan gigih untuk memperolehinya disamping sentiasa berdoa agar diberkati serta dipermudahkan rezeki kita.

No comments:

SUMBANGAN IKHLAS

Untuk menjayakan dan memantapkan lagi keupayaan saya berkongsi ilmu sumbangan daripada pembaca amat di alu - alukan.

Sumbangan ikhlas boleh disalurkan melalui:

NOH NIK WAN
Maybank No. 112361650899.

Saya juga merakam jutaan terimakasih kepada mereka yang telah memberi dan dengan sumbangan sedemikian dapatlah saya menjalankan pelbagai kajian berkaitan penternakan serta pemasaran ikan keli dan akuakultur untuk saya kongsikan disini.